Wednesday, April 20, 2011
KESYAHIDAN HAZRAT ANAS BIN NADHR R.A
Hazrat Anas bin Nadhr r.a ialah seorang sahabat yang tidak dapat menyertai peperangan Badar. Beliau sedih tentang perkara ini dan mengutuk dirinya dengan berkata, “Badar ialah peperangan yang pertama dan agung dalam Islam sedangkan engkau tidak dapat menyertai peperangan itu”. Beliau bercita-cita sekiranya ada peperangan lain maka beliau akan tunaikan tuntutan semangatnya. Secara kebetulan peperangan Uhud pun tiba, amka beliau telah menyertai peperangan itu dengan penuh kepahlawanan dan keberanian. Dalam peperangan Uhud, orang Islam telah menang pada permulaan perang itu. Tetapi, akibat satu kesilapan, orang Islam akhirnya telah kalah. Kesilapan berlaku kerana Rasulullah s.a.w telah menetapkan beberapa orang di sebuah bukit yang tertentu dengan bersabda: “Selagi saya tidak beri arahan, kamu jangan tinggalkan bukit itu kerana musuh mungkin akan menyerang dari tempat itu”.
Kemudian apabila tentera-tentera yang berada di atas bukit melihat orang kafir melarikan diri maka kebanyakan mereka telah turun dari bukit itu dengan menyangka bahawa peperangan sudah berakhir. Oleh sebab itu, mereka berlari-lari mengejar orang kafir untuk mendapatkan harta rampasan. Ketua jemaah tersebut telah melarang dengan berkata, “Ini ialah larangan Rasulullah s.a.w, kamu jangan tinggalkan tempat ini”. Walau bagaimanapun, mereka menyangka bahawa perintah Rasulullah s.a.w hanya semasa pertempuran sahaja. Oleh sebab itu, mereka turun dari tempat tersebut dan menuju ke medan. Semasa melarikan diri, orang kafir ternampak yang bukit itu telah di biarkan kosong lalu mereka pun datang dari arah tersebut dan membuat serangan. Pada ketika itu orang Islam berada keadaan leka. Tanpa disedari, orang kafir telah melancarkan serangan mengejut dan ini menyebabkan orang Islam rasa tertekan. Tambahan pula, orang Islam berada di tengah-tengah orang kafir yang menyerang dari kedua-dua arah. Oleh sebab itu, mereka lari tidak tentu hala.
Hazrat Anas bin Nadhr r.a telah ternampak seorang sahabat, Hazrat Sa’ad bin Ma’az r.a datang dari arah hadapan. Beliau berkata, “Wahai Sa’ad ke mana engkau hendak pergi? Demi Allah, keharuman syurga sedang datang dari arah bukit Uhud”. Setelah berkata demikian, beliau menyerbu ke arah kumpulan orang kafir dengan pedang yang masih terhunus di tangan. Selagi tidak syahid, selagi itu beliau tidak pulang. Setelah gugur syahid, didapati badannya telah cedera parah. Terdapat lebih dari[ada 80 liang luka pada badannya akibat terkena pedang dan anak panah. Saudara perempuan beliau sahaja yang dapat mengenalinya melalui hujung jari beliau.
Moral yang kita dapat amik dari kisah ini adalah, orang yang terlibat dengan kerja-kerja Allah SWT (kerja agama) dengan ikhlas dan keinginan yang sejati akan dapat merasai kelazatan syurga dalam dunia lagi. Hazrat Anas bin Nadhr r.a mencium bau syurga semasa hidup di dunia lagi. Sekiranya kita juga menjadi orang yang ikhlas, maka kelazatan syurga akan dikecapi di dunia ini lagi.
Posted by
Iman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment