Monday, October 31, 2011

Sentuhan Peribadi Rumah Tangga Moden

Selalu kita dengar orang menyebut-nyebut tentang ‘air tangan’ ibu. Masakan hasil sentuhan tangan ibu lebih sedap dan berkat.

Walaupun ibu masak gitu-gitu saja, letak bahan ala kadar, tapi anak-anak dan suami makan berselera. Sedap macam mana pun makanan di luar, sedap lagi masakan ibu di rumah.

Sebab apa? Sebab ibu masak dengan hati dan perasaan. Ibu niatkan di hati untuk sediakan hidangan yang terbaik dari sentuhan tangannya sendiri buat anak-anak dan suami. Perasaan kasih dan sayangnya tertumpah di situ – sambil dia memotong sayur, menyiang ikan, menggoreng, menumis dan sebagainya.

Ini menunjukkan kerja-kerja mengurus rumah tangga melibatkan jalinan emosi dan tautan hati. Ia bukan sekadar kerja fizikal. Oleh itu, baik sebuah keluarga itu ada pembantu rumah atau tanpa pembantu, sentuhan peribadi seorang isteri atau ibu sangat diperlukan. Kalau pun ada pembantu, ada kerja-kerja tertentu yang lebih sesuai isteri sendiri buat.

Bagi seorang wanita yang sudah berkeluarga, sememangnya dia berkewajipan menyibukkan diri mengurus rumah tangga dan anak-anaknya dengan tangannya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.: "… dan seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah suami dan anak-anaknya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban tentang mereka…"

(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Dalam suasana ramai wanita keluar bekerja pada hari ini, trend menghantar anak-anak ke nurseri atau mengambil pembantu rumah sudah jadi lumrah. Namun begitu, kemudahan nurseri atau khidmat pembantu rumah tidak seharusnya menyebabkan hilangnya sentuhan peribadi seorang isteri atau ibu di rumah.

Walau sibuk membantu suami mencari nafkah keluarga atau memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat, sentuhan tangan isteri tetap perlu dalam kerja-kerja di rumah. Ini terutamanya dalam kerja memasak, menghidang makanan, melayan suami, mengurus anak-anak dan sebagainya iaitu kerja-kerja yang melibatkan emosi. Di situ saluran bagi isteri atau ibu menumpahkan perasaan keibuan atau kewanitaannya.

Banyak kerja pengurusan rumah tangga sebenarnya menjadi saluran menjalin hubungan emosi dan tautan hati dengan suami dan anak-anak. Ia bukan sekadar saluran khidmat isteri kepada suami. Ini bermakna ada kerja yang boleh diserah kepada pembantu rumah atau pengasuh anak-anak tetapi ada yang tidak.

Katalah seorang wanita itu terlalu sibuk untuk memasak sendiri. Ada pembantu boleh tolong masakkan. Tetapi paling kurang, waktu menghidang dan mencedok makanan ke pinggan suami, isteri sendiri turun tangan. Begitu juga dalam menghidang minuman untuk suami. Kerja-kerja mudah dan layanan kepada suami yang mungkin dipandang remeh ini sebenarnya menyumbang kepada suasana kasih sayang dan membuatkan suami rasa tenteram di rumah.

Firman Allah:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang…"  (Ar-Rum: 21)

Kesan sentuhan tangan isteri dan ibu ini dapat dilihat pada perkara-perkara berikut:

1. Penyediaan makan minum sekeluarga

Oleh kerana isteri dan ibu tadi memasak "dengan hati dan perasaan", suami dan anak-anak dapat mencicip rasa kasih sayang yang ditumpahkan itu melalui hidangan yang dimakan. Di samping ada keberkatan pada makanan itu, ada kesan psikologi di sebaliknya. Ia membuatkan suami dan anak-anak semakin jatuh kasih pada isteri dan ibu mereka.

Lebih-lebih lagi jika sewaktu menyediakan makanan, sambil basuh beras atau menanak nasi, lidah isteri sentiasa basah dengan zikir dan selawat. Disertakan pula dengan niat untuk dapatkan keredhaan Allah, hidang makanan yang halal untuk keluarga, membahagiakan keluarga atau lain-lain niat yang murni. Pastilah bertambah keberkatannya.

Kesan ‘air tangan’ ibu akan lebih terasa bagi anak kecil yang disuapkan makanannya oleh ibu. Sesetengah ibu mengunyahkan makanan sebelum disuapkan ke mulut anak agar kasih sayangnya dapat berbaur sekali dengan air liurnya untuk dicicip oleh anak. Saya tidak pasti apakah ada bukti saintifik mengenai hubungkait air liur dengan jalinan kasih sayang ini tapi bukti pengalaman memang ada. Haiwan pun, misalnya kucing, jika diberi makan bekas kunyahan seseorang ia akan jatuh kasih pada orang itu.

2. Hidang minuman untuk suami

Waktu suami balik kerja, sedang duduk membaca di rumah atau baru selesai membersihkan halaman, siapa yang selalunya hidangkan air untuk suami? Perkara ini mungkin kecil tapi memberi kesan yang besar pada hubungan suami isteri. Tangan yang sering membawa hidangan minuman itu sebenarnya tempat tumpahnya kasih sayang suami. Jadi biarlah tangan itu milik isteri, bukan milik pembantu rumah.

3. Raikan suami dan anak-anak di muka pintu

Jika ini dilakukan, tidak timbul soal mengharapkan pembantu rumah untuk menutup pintu rumah atau pintu pagar selepas suami keluar bekerja atau anak-anak keluar ke sekolah. Isteri sendiri patut meraikan suami yang hendak keluar bekerja (jika isteri tidak bekerja). Anak-anak yang hendak melangkah keluar ke sekolah juga perlu diraikan di muka pintu oleh ibu mereka. Begitu juga sewaktu suami dan anak-anak balik. Cara ini akan memberi kesan psikologi yang amat mendalam di hati suami dan anak-anak.

Waktu Rasulullah s.a.w. balik dari Gua Hira’selepas menerima wahyu pertama, Sayidatina Khadijah r.ha menyambutnya di muka pintu. Dengan tangannya sendiri beliau menyelimutkan tubuh baginda dan menenangkan baginda. Dan pada paginya beliau keluar menemui sepupunya Warakah bin Naufal untuk menceritakan keadaan Rasulullah. Beliau tidak menghantar ‘posmen’ untuk menjemput Warakah datang walaupun beliau ada pembantu yang boleh disuruh untuk berbuat demikian. Sentuhan peribadi Khadijah ini sering mengusik kenangan Nabi s.a.w. lama selepas ketiadaannya.

4. Mandikan anak

Sentuhan lembut tangan ibu pada tubuh anak waktu dimandikan juga dapat mentautkan emosi ibu dan anak. Ada petua orang tua-tua yang menggalakkan ibu atau bapa membiarkan air mandiannya jatuh ke tubuh anak ketika mereka sama-sama mandi. Supaya anak jadi rapat dan mudah dengar kata.

5. Kejut anak bangun tidur

Mengejutkan anak untuk bangun Subuh adalah sebahagian dari agenda dalam pengurusan rumah tangga terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat awal remaja. Waktu itu seorang ibu dapat memindahkan rasa sayangnya pada anak dengan memegang lembut sambil memicit-micit hujung kaki anak waktu mengejutkan mereka. Sentuhan tangan ibu yang dirasai oleh anak di permulaan hari pasti ada keberkatannya dan berbekas di hati anak. Terutama apabila dibisikkan sekali doa, zikir atau selawat di telinganya.

6. Penyediaan tempat tidur

Tempat tidur suami isteri sebaik-baiknya disediakan dan dikemas oleh isteri. Begitu juga tugas-tugas lain di bilik tidur suami isteri. Seboleh mungkin jangan diserahkan kepada pembantu rumah. Ia memerlukan sentuhan peribadi isteri kerana bilik tidur lazimnya menyimpan rahsia suami isteri. Di situ juga seharusnya tempat paling tenang, selesa dan ber‘privacy’ bagi suami isteri di dalam rumah selain dari ruang ibadah.

7. Menyelia kerja anak-anak

Anak-anak perlu dilibatkan dalam kerja pengurusan rumah tangga. Paling tidak kerja yang melibatkan keperluan mereka sendiri dan memenuhi keperluan ibu bapa sebagai khidmat bakti mereka. Ini memerlukan sentuhan peribadi seorang ibu dalam menyelia kerja anak-anak. Kadang-kadang ibu hanya perlu menunjuk ajar dan memantau dari dekat sambil anak-anak buat kerja seperti memasak, mencuci pakaian dan menyapu sampah. Dalam masa menunjuk ajar itu terjalin hubungan intim ibu-anak sambil anak dilatih berdikari dan berbakti. Sabda Nabi s.a.w.: "Semoga Allah memberikan kasih sayang kepada orang tua yang mendidik anaknya untuk berbakti kepada dirinya." (Riwayat Abu Asy-Syeikh)

Sering dikatakan bahawa "Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia" dan "Di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita di belakangnya". Oleh itu jangan pandang kecil pada seorang suri rumah yang kerjanya setiap hari hanya mengurus rumah tangga.

Namanya mungkin tidak pernah disebut-sebut orang. Tetapi kejayaannya membereskan urusan-urusan rumah tangga melalui sentuhan peribadinya harus diberi penilaian yang tinggi. Kerana bermula dari suasana rumah tangga yang beres itu, dia mampu membentuk jiwa anak-anak yang cemerlang dan menjadi pendorong utama di belakang kejayaan suami di luar rumah.



No comments:

Post a Comment